Isnin, 21 Mac 2011

siti nurhaliza & sh aini - foto azhar mogo

SELEPAS 6 TAHUN DIDAKWA TAK BERBAIK ... DATUK SHARIFAH AINI & DATUK SITI PULIH SILATURRAHIM


Pertemuan dua penyanyi tersohor tanahair, Datuk Sharifah Aini dan Datuk Siti Nurhaliza di suite mewah, Hotel Royale Chulan, Jalan Conlay, Kuala Lumpur, pada 18 Ogos lalu, mencatatkan satu lagi sejarah dalam industri hiburan tanahair. Semua maklum, kedua-dua mereka penah menjadi bualan hangat pada tahun 2004, apabila didakwa tidak sehaluan lagi, gara-gara satu kes e-mel layang. Kes e-mel ini sampai dibawa ke mahkamah. Bagaimanapun, kemudian digugurkan.

Datuk Sharifah Aini mendakwa ada pihak dengan sengaja mahu memburuk-burukkan beliau dengan mengaitkan dirinya dalam e-mel mengaibkan nama Siti Nurhaliza. Beliau mendakwa, usaha pihak berkenaan untuk melaga-lagakan dirinya dengan Siti Nurhaliza dan dalam masa yang sama mahu menjatuhkan nama baiknya. Sejak peristiwa itu, kedua-dua penyanyi ini tidak lagi dilihat menjayakan satu persembahan pentas atau kelihatan dalam satu majlis. Jauh sekali bergambar berdua-duaan, seperti yang anda tatap ini. Di kalangan peminat-peminat, ramai percaya kedua-duanya tidak lagi punya hubungan silaturrahim yang baik.

Bagaimanapun, Ogos lalu, Huzz berjaya mendapat lampu hijau daripada kedua-duanya untuk bergambar sama khas untuk sambutan Aidilfitri pada tahun ini. Hasrat mahu menemukan Datuk Sharifah Aini dengan Siti kerana sebelum ini, pada tahun-tahun sebelum ini, walaupun kedua-dua mereka disangka tidak baik, tetapi semasa Huzz ke rumah Sharifah Aini, koleksi CD (album) Siti masih setia ada didalam rak album artis pouplar dalam dan luar negara yang menjadi pilihannya. Tak hanya itu, andai majalah-majalah URTV sebelum ini yang ada memuatkan cerita Siti, diberikan kepadanya, beliau tidak memberi reaksi membenci. Bahkan, beliau mengikuti perkembangan penyanyi itu dengan hati terbuka. Jadi dapat dilihat, Sharifah Aini tidak punya dendam atau marah terhadap Siti Nurhaliza.

Pada April lalu, selesai satu wawancara yang Huzz lakukan di rumahnya, Sharifah Aini ada bertanya khabar tentang Siti. Bahkan, kemudian mengatakan, dia mendoakan penyanyi itu akan mendapat cahayamata comel. Lalu malam itu, dengan berani Huzz bertanya, adakah beliau sudi, kalau URTV mengajaknya bergambar sama dengan Datuk Siti Nurhaliza, sempena Aidilfitri. Dengan nada gembira, katanya, "Kak Aini tak ada masalah. Kalau Siti kelapangan, Kak Aini sedia. Sampaikan salam Kak Aini kepada dia." Bahkan beliau berkata, "Kalau Huzz mahu mengaturkan teruskanlah, Kak Aini bersedia."

Malam itu, Huzz segera menghubungi Datuk Khalid suami Datuk Siti dan ketika berbual dengan Siti, Huzz menyampaikan salam Sharifah Aini dan memberitahu hajat di hati. Siti tanpa terkejut atau marah dengan cadangan itu, mengatakan, dia tidak ada masalah. Cerita doa Sharifah Aini terhadap Siti ada saya muatkan dalam URTV keluaran sebelum ini (edisi 1-15 Jun). Datuk Sharifah Aini gembira kerana saya menyampaikan hajat murninya. Bagaimanapun, Huzz perlu menunggu masa untuk mengambil gambar mereka, lantaran kedua-duanya sibuk. Siti sepanjang ketika April dan Mei sibuk mempromosikan Simply Siti manakala Sharifah Aini pula dengan projek konsert amalnya. Bagaiamanapun, berita baik Huzz terima sekembalinya Siti bersama-sama suaminya dari Mekah, sebelum Ramadan lalu. Apabila Rozie, pegawai Siti Nurhaliza Production memberitahu Huzz, Siti bersedia bergambar dengan Sharifah Aini, ia satu berita yang cukup menggembirakan.

Huzz, Siti ada beritahu hasrat Huzz. Dia bersetuju untuk bergambar sama dengan Datuk Sharifah Aini. Minta tolong carikan tempat dan tarikh ya! Nak beritahu juga, pihak Utusan Malaysia dan Berita Harian, juga mahu buat fotografi pada hari sama URTV merakamkan gambar-gambar ini," kata Rozie. Bila Sharifah Aini dihubungi, memaklumkan hal ini, dia juga kedengaran gembira. Bagaimanapun, katanya, tarikh sesuai untuk fotografi ini ialah pada 18 Ogos. Ini kerana beliau ada urusan mahu ke Singapura. Kepada kedua-dua bintang ini, Huzz berpesan, jangan lupa, baju-baju eksklusif untuk dipakai sebagai penghias kulit depan URTV. Memikirkan URTV edisi khas Aidilfitri sebelum ini, sudah sedia untuk dicetak pada hari kami mahu ke lokasi, Huzz mengambil keputusan untuk memuatkan gambar-gambar mereka di keluaran ini. Apatah lagi, kita masih bercerita soal Aidilfitri pada edisi ini.

Pada tarikh 18 Ogos itu, Huzz mengajak sama, Pengarang Mangga.online, Rosli Manah (sebumbung dengan URTV di bawah penerbitan Utusan Karya Sdn Bhd). Tujuannya agar beliau juga dapat merakamkan sama detik sejarah ini. Sharifah Aini pula meminta Saharuddin Mustapha dari Utusan Malaysia, mendapatkan suite di Hotel Royal Chulan apabila difahamkan akhbar utama negara, Utusan Malaysia akan hadir merkamkan detik pertemuannya dengan Siti.

Pada 18 Ogos itu. URTV mendapat laluan awal, merakamkan gambar-gambar kedua permata seni tanahair ini. Sharifah Aini sampai jam 11.00 pagi, ditemani pembantu, jurusolek dan pendandan rambut. Huzz bersama-sama, Penolong Pengarang URTV, Norzeha Kasbi dan Rosli Manah, serta jurugambar Azhar Mogo dan Asrekhuzairy, tak sabar nak merakamkan detik-detik bersejarah pertemuan dua insan ini. Fotografi yang sepatutnya bermula tengahari itu, diganjakkan sedikit waktunya, kerana Siti belum selesai dari kelas mengaji.

Siti yang kemudiannya, hadir ditemani Rozie, jurusolek Nurul Shukor dan pereka fesyen Rizman Ruzaini kelihatan ceria memakai baju berwarna ungu. Difahamkan, baju itu hadiah suami (dibeli di London), sempena ulangtahun perkahwinan ke empat mereka. Siti memberitahu Huzz, dia mahu bertemu Sharifah Aini yang sedang bersolek, sebelum dia menukar baju untuk fotografi. Itulah detik paling bersejarah, setelah enam tahun tidak berjumpa, akhirnya, kedua-duanya memulihkan ikatan silaturrahim dengan berpelukan dan bersalaman. Wajah kedua-duanya nampak ikhlas dan mesra.

"Kami pernah terserempak di majlis-majlis sebelum ini tapi tak pernah berpeluang bertemu dekat apalagi bergambar macam hari ini," kata Sharifah Aini. Ketika fotografi URTV dilakukan, Siti ada bertanyakan khabar tentang Aliff, Sharifah Aini memberitahu buah hatinya itu, ada di KL, balik bercuti. Rakan-rakan wartawan dan jurugambar yang hadir, kemudiannya, tak mahu ketinggalan merakamkan kenangan bersama-sama kedua-dua mereka

Tiada ulasan:

Catat Ulasan