Suka bau badan Raul
Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN
FOTO AZHAR MOGO
BERCERAI dengan Anang tidak ada setitik air mata yang gugur. Tetapi putus cinta dua bulan dengan Raul, aku menangis kesedihan. Kalian boleh fikirkan bagaimana aku terlalu mencintainya.”
Ayat-ayat cinta ini saja sudah cukup menunjukkan kasmaran di hati sang diva kepada lelaki bernama Raul Lemos yang kini sedang menakluki dirinya.
Tidak cukup dengan itu, Krisdayanti dengan jujur mendedahkan betapa ketika ini dia terlalu menyintai hartawan asal Timor Leste itu tanpa peduli apa sekalipun yang dicerca orang.
Malah, kalau sekali pun menikah dengan Raul karier seninya akan punah ranah, dia sudah bersedia mendepani realiti itu.
“Kalian tanya kenapa aku menyintai Raul? Pertamanya, dia tidak merokok, justeru bau badannya amat menyenangkan aku. Bau badannya memberikan aku semangat yang luar biasa damai.
“Selain itu, bahu Raul juga menjadi tempat untuk aku sandarkan tangisan. Di situlah tempat untuk aku lepaskan segala lelah, kecewa dan emosi diri,” katanya.
Bukan setakat itu sahaja, apa yang lebih penting, Raul adalah ruang untuk dirinya menebus segala kegagalan masa lalu.
“Maknanya segala kegagalan masa lalu aku, ada pada Raul untuk ditebus semula. Aku cukup yakin dengan cintanya hingga setiap kali di sampingnya, aku merasakan akulah wanita paling bertuah, paling beruntung dan justeru aku tidak mahu terlalu lama menanti untuk menjadi isterinya yang sah.”
Kami bertemu buat sekian kalinya pada 22 Ogos 2010, tarikh dia sepatutnya menyambut ulang tahun ke-14 dengan Anang Hermasyah.
Tetapi, lelaki berkulit putih bertubuh sedikit kecil itu sudah lama hilang dari kamar hatinya dan ulang tahun ke-14 tanpa sebarang kenangan.
Hari ini, sang diva sedang berbahagia dengan masa depan, menghitung hari untuk bersama lelaki baru yang bakal memenuhi segala kegagalan masa lalunya.
Dilihat sedari fizikal, Raul barangkali tidak sekacak Anang, dengan tubuh yang lebih besar, berbibir tebal dan pandangan yang agak ‘kasar’.
Tetapi diukur sedari dalaman, Raul adalah lelaki yang penuh dengan kelembutan.
Melihat dengan mata sendiri bagaimana dia menggambarkan cinta ‘Raulnya’ itu, saya percaya bukan material jadi ukuran. Justeru KD sendiri punya jutaan aset yang digapai hasil sukses sebagai penyanyi nombor satu Indonesia.
Adalah sesuatu yang sangat tidak adil kalau melabelkan KD sebagai materialistik hanya kerana mencintai hartawan muda itu.
“Apa pun yang dicerca orang, aku sudah cukup bersedia secara fizikal dan mental untuk kembali menjadi ibu rumah tangga. Dengan Raul, hatiku sedang sangat berbahagia,” demikian ungkapnya dalam senyuman paling jujur pada awal pertemuan kami.
Hampir lapan jam menjadi tetamu di banglo mewahnya di Jalan Dwijaya, Radio Dalam, Jakarta Selatan, tanpa sebarang rahsia KD sudah kelihatan sepenuh hati nekad dengan memilih Raul untuk menjadi lelaki mendampingi masa depannya.
Bernikah awal 2011
Selain nekad untuk menikah lagi, KD juga memberitahu dia dan Raul sudah memilih tarikh pernikahan.
Membiarkan waktu yang sesuai untuk memberitahu tarikh sebenar, KD memberi bayangan bahawa awal tahun 2011 bakal disambut dengan gelaran sebagai isteri buat kali kedua.
Majlis dijangka pada Februari itu akan berlangsung di dua negara, Indonesia dan Timor Leste dengan tema pesta berkonsep antarabangsa yang gilang-gemilang.
“Sekarang juga, aku sudah diajar Raul bagaimana untuk menjadi pendamping bagi seorang lelaki yang disayangi oleh negaranya.
“Sebagai seorang pengusaha negarawan, aku diajar untuk lebih memahami etika-etika penampilan supaya tidak memalukan diri sendiri. Misalnya, jalan harus lurus ke depan, tata tertib perlu dijaga rapi kalau muncul di khalayak.
“Setiap kali menemaninya, aku harus duduk di samping Raul, bukan di depannya. Ini kerana dia tidak mahu ada perempuan lain di sampingnya, hanya aku. Dan ternyata, senang sekali menjadi ‘Nyonya Dili,” katanya lagi dalam ketawa kecil.
Berbicara lanjut tentang majlis berkenaan, KD memberitahu Raul sudah membayangkan untuk menganjurkan pesta besar-besaran mengikut adat Dili, Indonesia dan Portugal.
Janji Raul, sekalipun ia pesta besar, ia sama sekali tidak akan memenatkan KD dan ia akan memenuhi segala impian wanita itu yang belum terlaksana sebelum ini.
“Raul punya cita-cita untuk membuat pesta pernikahan yang istimewa buat aku. Sebagai orang muda yang punya masa depan yang baik di negaranya, Raul sangat rapat dengan negarawan.
“Jadi, majlis besar itu sudah pasti akan diadakan di Dili, sebagai meraikan pernikahan kami nanti,” katanya yang sudah pun dihadiahkan sebuah banglo mewah di Jakarta sebagai kediaman untuk didiami selepas bergelar ‘Nyonya Lemos’.
Mengakui bahawa ia sudah tidak sabar untuk melalui detik bergelar isteri semula bagi membina keluarga baru, bagaimanapun dia perlu bersabar kerana segalanya hanya akan berlangsung sebaik saja masalah Raul bersama bekas isterinya, selesai.
“Mereka itu memang sudah bercerai, tetapi ada beberapa hal yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Kami akan menikah sebaik sahaja masalah Raul dan bekas isterinya selesai.
"Aku hanya mengharapkan yang baik-baik saja untuk impian kami. Walaupun sudah punya tarikh, tidak boleh dikongsikan dengan umum dahulu kerana ada perkara yang belum selesai,” katanya sambil memberitahu bahawa segala masalah Raul dan bekas isteri, Silvalay Noor Athalia (Atha) dijangka selesai dalam tempoh 90 hari lagi.
Anang hanya masa lalu
Kejujuran ini perlu saya catatkan di sini. Ketika hadir ke banglo dua tingkat siap berkolam renang itu, membaca pelbagai cerita ‘kurang muluk’ tentang perangainya (termasuklah mencium Raul dalam sidang akhbar), saya sebenarnya hadir bertemu KD dengan skeptikal bahawa dia adalah antagonis dalam kisah rumah tangganya dengan Anang sehingga bercerai berai.
Pun, sebagai orang media, saya tidak boleh emosional dan perlu berlaku adil untuk KD juga.
Peluang bertemu dengannya secara eksklusif menjadi medium untuk saya mencungkil isi hati KD sedalam-dalamnya.
Lalu tanpa was-was saya tanya sebab sebenar dia memilih meninggalkan Anang, lelaki yang sudah menikahi dirinya hampir 13 tahun, lelaki yang ‘menghantar’ dia ke mercu sukses sebagai seorang diva, yang menghadiahi dua zuriat.
Kata KD, selain sudah tidak berjodoh untuk hidup ke usia tua, dia nekad mencari bahagia dengan caranya sendiri.
“Aku selalu menganggap hidup ini penuh dengan teka-teki. Kehidupan juga satu pendakian. Laluannya berbeza-beza. Ada duri, onak yang terjal.
“Ramai yang tidak tahu rumah tanggaku dengan Anang sudah bermasalah semenjak lima tahun lalu. Aku diamkan saja, bersabar, berusaha berbaik-baik. Aku mahu mencari peluang-peluang baru untuk membina semula rumah tangga kami, tetapi sampai akhirnya aku sudah tidak punya kekuatan lagi.
“Aku hilang semangat untuk mempertahankanya kerana perasaan cinta antara kami sudah hilang. Yang ada hanya rasa hormatku buat dia. Lalu, kenapa aku perlu terus menyakitkan hati sendiri? Kenapa apa perlu terus menanti dalam kesakitan? Aku diberi hidayah Allah, untuk mengakhirinya dengan baik, setelah mengerjakan umrah di tanah suci.
“Nah, Raul bukan penyebab kegagalan aku dan Anang. Dia hadir pada ketika aku sedang sakit kerana kehancuran.
“Aku benar-benar mahu mencari kehidupan baru, mencari bahagia yang baru dengan Raul dan Insya Allah segalanya akan terlaksana kerana selama ini pun tidak pernah ada doa aku yang Allah tidak tunaikan.
Kali ini juga, aku yakin Allah akan perkenankan doaku untuk hidup bersama Raul,” katanya.
Mengusik dengan pertanyaan, tidakkah dia berhasrat untuk berbicara dengan Anang, sementelah 13 tahun lalu mereka tidak pernah ketinggalan meraikan detik 22 Ogos, KD tidak bungkam lalu menyambung “Untuk apa diingat lagi? Aku mahu membuang semua kenangan itu. Sekarang aku hanya perlu mengingati tanggal baru saja nanti,” katanya.
Anang hanyalah cerita masa lalu dan seboleh mungkin dia mahu menguburkan semua kenangan bersama lelaki itu sebelum memberi hati kepada lelaki lain.
Apa yang ada dan perlu dipertahankan ialah kenangan dengan anak-anak yang kini berada dalam jagaan Anang.
Sudah setahun tidak diberi peluang untuk tidur bermalam bersama Aurell dan Azrell, KD merasakan hak sebagai ibu dinafikan sama sekali.
“Aku hanya perlu merelakan ini terjadi kerana aku tidak mahu lagi bergaduh dengan Anang. Kalau anak-anak itu, aku percaya sampai saatnya mereka akan datang juga kepadaku. Meskipun jarang sekali datang peluang untuk bertemu, aku yakin dalam hati mereka tetap ada aku,” katanya.
Bagi KD, kalau sekalipun selama-lamanya masyarakat menganggap Anang lebih baik dan dia sebagai wanita yang jahat kerana memilih untuk bercerai pada tahun lalu, dia tidak pernah kisah.
“Hidup ini tidak boleh terlalu pesimis. Kalau gara-gara perceraian dengan Anang membuatkan karier aku hancur lebur, aku juga sudah pasrah. Aku menerimanya bukan sebagai hukuman kerana Allah sangat baik terhadap aku. Aku menerimanya dengan sudut paling positif, barangkali ini adalah tempoh yang diberi Allah untuk aku lebih banyakkan rehat.
“Raul juga selalu mengingatkan aku supaya tidak lagi terlalu mengejar wang, mengejar kerja. Tugas mencari wang itu tanggungjawab dia.
“Lalu, kalau selamanya pun aku akan dianggap sebagai wanita yang ‘jahat’ wanita yang ‘curang’ aku tak perlu marah kerana ini adalah harga yang aku bayar untuk menggapai satu bahagia,” ujarnya lagi.
Dengan mata yang berkaca-kaca lewat jam terakhir pertemuan kami, KD sempat menyampaikan kata “Apa sekali pun yang sudah aku lalui, aku percaya badai pasti berlalu. Masa depan untuk aku, cinta yang sejati untuk aku akan datang.”
Isnin, 21 Mac 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan